DUBAI, 21 Julai – Iran, Britain, Perancis dan Jerman akan mengadakan rundingan nuklear di Istanbul pada Jumaat, menurut jurucakap Kementerian Luar Iran awal pagi Isnin.
Rundingan tersebut berlangsung selepas ketiga-tiga negara Eropah (dikenali sebagai E3) memberi amaran bahawa kegagalan untuk menyambung semula rundingan akan menyebabkan iran dikenakan semula sekatan antarabangsa.
“Mesyuarat antara Iran, Britain, Perancis dan Jerman akan diadakan di peringkat timbalan menteri luar,” kata Esmaeil Baghaei seperti yang dilaporkan oleh media rasmi Iran.
Minggu lalu, menteri luar E3 dan wakil Kesatuan Eropah (EU) menghubungi Menteri Luar Iran, Abbas Araqch.
Ia merupakan perbualan pertama sejak Israel dan Amerika Syarikat menyerang kemudahan nuklear Iran sebulan lalu.
E3, bersama China dan Rusia, masih menyertai perjanjian nuklear 2015 yang memberi kelonggaran sekatan kepada Iran sebagai pertukaran kepada had program nuklear negara itu.
Amerika Syarikat telah menarik diri daripada perjanjian tersebut pada 2018.
“Jika EU/E3 mahu memainkan peranan, mereka harus bertindak secara bertanggungjawab dan meninggalkan dasar lapuk berasaskan ancaman dan tekanan, termasuk 'snapback' yang mereka tidak mempunyai asas moral dan undang-undang untuk laksanakan,” kata Araqchi awal minggu ini.
Mekanisme snapback boleh digunakan untuk mengembalikan semula sekatan PBB sebelum resolusi Majlis Keselamatan yang mengesahkan perjanjian tersebut tamat pada 18 Oktober.
Sebelum tercetusnya perang antara Israel dan Iran, Tehran dan Washington telah mengadakan lima pusingan rundingan nuklear yang dimediasi oleh Oman, namun menghadapi beberapa halangan utama seperti isu pengayaan uranium di Iran sesuatu yang mahu dikurangkan ke tahap sifar oleh kuasa Barat bagi mengurangkan risiko pembinaan senjata nuklear. - REUTERS