JAKARTA, 24 Julai – Pihak berkuasa Indonesia menahan 44 individu disyaki memulakan kebakaran hutan dan tanah gambut menyebabkan jerebu tebal dan menjejaskan kesihatan penduduk di rantau Asia Tenggara.
Kesemua suspek termasuk seorang wanita, dibawa ke hadapan media dalam satu sidang media di Pekanbaru, Riau.
Mereka boleh didakwa di bawah undang-undang perlindungan alam sekitar Indonesia yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun.
Menurut Ketua Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Suharyanto, kebakaran yang berlaku bukan semata-mata berpunca daripada musim kemarau, tetapi juga akibat perbuatan manusia yang sengaja membakar tanah bagi tujuan pembersihan dan penanaman.
“Penahanan ini diharap memberi pengajaran kepada masyarakat supaya tidak lagi membersihkan tanah dengan cara membakar,” katanya dalam satu kenyataan.
Beberapa kawasan di wilayah Riau, termasuk Rokan Hilir dan Rokan Hulu dilaporkan paling terjejas, dengan lebih 500 hektar tanah musnah.
Jerebu yang tebal menyebabkan jarak penglihatan merosot kepada kurang satu kilometer.
Sebagai langkah segera, pihak berkuasa telah menjalankan operasi pembenihan awan dengan menabur ribuan tan garam bagi menghasilkan hujan buatan bermula semalam hingga esok.
Kebakaran hutan merupakan isu tahunan di Indonesia dan sering mencetuskan ketegangan diplomatik dengan negara jiran seperti Malaysia, Singapura dan Thailand.
Pada 2019, seramai 230 individu turut diberkas atas kesalahan yang sama. - AFP