fb fb fb fb fb

Britain sekat individu, kumpulan terlibat seludup migran

Britain mengenakan sekatan terhadap lebih 24 individu dan kumpulan terlibat penyeludupan migran. Foto AFP

LONDON, 24 Julai - Kerajaan Britain mengenakan sekatan terhadap lebih 24 individu dan kumpulan dari Balkan, Asia Barat dan China didakwa terlibat dalam penyeludupan migran melalui Selat Inggeris.

Langkah tegas itu adalah strategi baharu kerajaan dalam usaha mengekang peningkatan kemasukan migran secara haram melalui bot kecil dari utara Perancis.

Setiausaha Luar Britain, David Lammy menyifatkan, tindakan itu sebagai satu titik penting dalam memerangi jenayah migrasi terancang.

“Dari Eropah ke Asia, kami memburu penyeludup manusia di mana sahaja mereka berada.

“Pesanan saya kepada mereka yang mengaut keuntungan melalui penderitaan manusia...kami tahu siapa anda dan kami akan pastikan anda bertanggungjawab,” tegasnya.

Sekatan berkenaan melibatkan pembekuan aset dan larangan perjalanan.

Tindakan tersebut melibatkan empat kumpulan jenayah terancang serta beberapa ketua samseng dari rantau Balkan.

Turut disekat, seorang pembekal bot dari China, pengendali sistem kewangan serta tujuh individu terbabit rangkaian sindiket penyeludupan manusia dari Iraq. - AFP

KHAIRUL AMRI BIN YASIN