fb fb fb fb fb

Indonesia kerah 200 polis rusuhan ke Kota Batam

(Tangkap layar rusuhan di Rempang, Indonesia/Twitter @Humairah_922)

JAKARTA, 15 September- Indonesia menghantar ratusan polis pencegah rusuhan ke sebuah pulau kecil di Kota Batam, selepas protes meletus terhadap projek disokong China yang bakal memindahkan ribuan penduduk, kata seorang pegawai hari ini.

Isnin lalu, kira-kira 1,000 orang melakukan tunjuk perasaan terhadap rancangan untuk membangunkan pulau Rempang menjadi zon ekonomi yang dibiayai oleh China, termasuk pembinaan kilang kaca bernilai berbilion dolar, yang akan menyebabkan kira-kira 7,500 orang berpindah.

Penunjuk perasaan telah bertempur dengan pasukan keselamatan di luar sebuah agensi kerajaan menggunakan parang, bom molotov dan batu, kata polis, sambil menambah puluhan suspek telah ditangkap.

Jurucakap polis Kepulauan Riau, Zahwani Pandra Arsyad berkata, seramai 200 pegawai daripada unit polis rusuhan briged bergerak dikenali sebagai Brimob, dihantar ke tempat kejadian hari ini.

"Mereka dari(unit) wilayah Riau. Penempatan itu untuk mewujudkan keselamatan. Ini adalah langkah untuk menjaga keselamatan kerana Batam, Kepulauan Riau adalah strategik (untuk) orang ramai berniaga dan melabur," katanya.

Arsyad berkata, tempoh penempatan unit berkenaan bergantung kepada keadaan semasa.

China telah melaburkan sejumlah dana untuk projek infrastruktur dan sumber dalam ekonomi terbesar Asia Tenggara itu, namun telah menyebabkan kekacauan sosial, termasuk rusuhan maut di kemudahan peleburan nikel di pulau Sulawesi pada Januari lalu.

Jakarta memperoleh perjanjian pelaburan bernilai $11.5 bilion daripada Xinyi Glass Holdings, pengeluar kaca terbesar dunia, untuk membina kilang itu semasa lawatan Presiden Joko Widodo ke Chengdu, China pada Julai lalu.

Kerajaan memaklumkan pembangunan itu akan mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan kepada rakyat Indonesia.

Ia menyasarkan untuk menarik lebih 300,000 pekerjaan menjelang 2080, menurut pegawai, yang tidak menyatakan bila projek itu dijangka siap. -AFP


(Tangkap layar rusuhan di Rempang, Indonesia/Twitter @Humairah_922)

Media Baharu