fb fb fb fb fb

Indonesia cari vaksin COVID-19 mempunyai jangka hayat lebih panjang

JAKARTA, 31 Mac - Kira-kira 19 juta dos vaksin COVID-19 dalam stok simpanan kebangsaan Indonesia sudah tamat tempoh dan 1.5 juta dos lagi hampir tarikh luput bulan depan.

Pihak berkuasa berkata kebanyakan vaksin COVID-19 yang disumbangkan mempunyai jangka hayat yang pendek atau hampir luput.

Indonesia dan banyak negara membangun lain kini giat laksanakan kempen vaksinasi, turut dibantu oleh sumbangan vaksin daripada negara kaya, namun berharap vaksin yang dihantar mempunyai jangka hayat yang lebih lama.

Pegawai Kanan Kementerian Kesihatan, Lucia Rizka Andalusia, memberitahu Parlimen bahawa 97 peratus daripada 19.3 juta dos vaksin tamat tempoh penggunaan antara Januari dan Mac lalu didermakan negara lain.

Vaksin AstraZeneca yang kebanyakannya yang sudah tamat tempoh, selain Moderna.

(Gambar hiasan)

Selain itu, Indonesia juga menerima sumbangan vaksin melalui skim perkongsian vaksin global, COVAX, dan negara seperti Australia serta Amerika Syarikat (AS).

Kakitangan Kementerian Luar, I Gede Ngurah Swajaya, turut memberitahu Parlimen bahawa Indonesia akan berhenti menerima derma vaksin sehingga April ini, selain memaklumkan negara penderma supaya vaksin yang diberi harus berbaki sekurang-kurangnya dua pertiga jangka hayatnya.

Persekutuan GAVI yang mengendalikan skim COVAX bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), memberitahu Reuters bahawa COVAX 'hanya menghantar vaksin yang sudah dipersetujui negara selepas mengetahui sepenuhnya jenis vaksin, jangkaan penghantaran dan jangka hayat vaksin'.

Agensi Makanan dan Ubat-Ubatan Indonesia, awal bulan ini berkata ia melanjutkan tarikh luput beberapa jenis vaksin termasuk AstraZeneca dan Sinovac, selepas menyemak data sedaia ada mengenai keberkesanannya.

Menurut pegawai Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), negara miskin sudah menolak lebih 100 juta dos vaksin COVID-19 diedarkan COVAX Disember lalu, kebanyakannya kerana sudah menghampiri tarikh luput. - REUTERS

Media Baharu