fb fb fb fb fb

Indonesia adakan mesyuarat kabinet pertama di Nusantara

Presiden Indonesia Joko Widodo bersama-sama Naib Presiden Indonesia Ma'ruf Amin mengetuai mesyuarat kabinet di Istana Garuda di Nusantara/ REUTERS

JAKARTA, 12 Ogos- Presiden Indonesia Joko Widodo mengadakan mesyuarat kabinet pertamanya di ibu negara baharunya di Nusantara, pada Isnin.

Jokowi berusaha untuk meyakinkan pelabur projek mega bernilai $32 bilion bahawa beliau kekal di landasan yang betul sebelum berundur pada Oktober depan.

Pengumuman projek infrastruktur utama di Nusantara itu bertujuan untuk meringankan beban Jakarta yang sesak selain memiliki bilangan penduduk yang padat.

Namun Nusantara menghadapi pelbagai masalah, termasuk kelewatan pembinaan dan kekurangan pelaburan asing.

Jokowi yang bersedia meninggalkan jawatan selepas berkhidmat dua penggal turut memaklumkan kepada menteri-menterinya bahawa ibu kota baharu itu menandakan lembaran bersejarah bagi Indonesia.

"Ibu kota baharu Nusantara adalah kanvas yang boleh kita ukir masa depan. Bukan setiap negara mempunyai peluang atau keupayaan untuk membina ibu kota baharu daripada sifar," kata Jokowi yang bercakap dari istana negara baharu berbentuk helang.

Nusantara sedang dibina dalam kawasan hutan di pulau Borneo dengan keluasan kira-kira 1,200 kilometer dari ibu kota semasa, Jakarta.

Lokasi strategik itu dilihat akan menggalakkan pembangunan sama rata merentas ekonomi terbesar Asia Tenggara.

Menurut Jokowi, penduduk dan aktiviti ekonomi negara itu telah lama dikuasai oleh pulau Jawa yang menyumbang 58 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Hampir kesemua 34 menteri kabinet menghadiri mesyuarat pada Isnin, termasuk Menteri Pertahanan dan bakal Presiden Indonesia Prabowo Subianto, yang akan dilantik secara rasmi pada 20 Oktober depan.

Presiden dan menteri kabinet membincangkan pembangunan Nusantara, dan peralihan kepada pentadbiran seterusnya.

Jokowi berkata beliau yakin pelaburan asing akan datang, dan Prabowo akan terus komited dengan projek berkenaan.

"Sekurang-kurangnya, saya akan meneruskannya, saya akan menyelesaikannya jika boleh," kata Prabowo kepada pemberita sebelum mesyuarat itu.

"Walaupun kami sedar bahawa pembinaan modal baharu memerlukan masa namun ia merupakan satu kerja yang panjang dan sukar."- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI