fb fb fb fb fb

Import beras Indonesia meningkat 62% dalam 11 bulan

Foto Hiasan / BERNAMA

JAKARTA, 16 Disember- Indonesia mengimport 3.85 juta tan beras dari Januari hingga November tahun ini, meningkat 62 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, lapor Xinhua memetik Statistik Indonesia (BPS) pada Isnin.

Nilai import beras itu berjumlah US$2.36 bilion, meneruskan trend peningkatan sejak 2022 apabila nilai import direkodkan sebanyak US$0.15 bilion.

Pada 2023, nilai import beras dicatatkan sebanyak US$1.45 bilion.

“Import beras tahun ini kebanyakannya dari Thailand dengan jumlah 1.19 juta tan, diikuti Vietnam sebanyak 1.12 juta tan, Myanmar 663,410 tan, Pakistan 642,140 tan, dan India 205,800 tan,” kata Pemangku Ketua BPS, Amalia Adininggar Widyasanti, dalam satu sidang media.

Indonesia berdepan cabaran memastikan bekalan beras domestik mencukupi berikutan kegagalan hasil tuaian yang disebabkan oleh fenomena El Nino tahun ini.

Bagaimanapun, Kerajaan Indonesia baru-baru ini menetapkan sasaran untuk menghasilkan 32 juta tan beras tahun depan bagi mencapai kecukupan bekalan makanan kendiri.-BERNAMA-XINHUA

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM