WASHINGTON, 17 Disember- Seorang guru dan seorang pelajar maut di Sekolah Kristian Abundant Life Wisconsin di utara Amerika Syarikat selepas tembakan dilepaskan oleh seorang pelajar di sekolah itu, kata pegawai.
Ketua polis di ibu negeri Madison Shon Barnes memaklumkan, sekolah berkenaan menempatkan kira-kira 400 pelajar berusia lima hingga 18 tahun, namun Barnes enggan berkongsi jantina atau umur sebenar suspek.
Sementara itu dua pelajar lagi dirawat kerana kecederaan serius manakala empat yang lain turut mendapat rawatan di sebuah hospital.
Menurut Barnes, sepucuk pistol ditemukan di tempat kejadian dan keluarga suspek memberi kerjasama dengan siasatan polis.
Tembakan pada Isnin di sebuah sekolah di Amerika Syarikat itu kelihatan seperti biasa namun perkara berkenaan perlu diberi perhatian serius khususnya melibatkan pelajar sekolah, tambah Barnes.
Ia berikutan jumlah senjata api melebihi jumlah penduduk dan percubaan untuk menyekat akses kepada senjata itu menghadapi kebuntuan politik berterusan.
"Saya rasa kita semua bersetuju perkara ini membimbangkan.
"Kita perlu bersatu untuk mengekang kejadian seperti ini berlaku pada masa depan dan para pelajar perlu diberi pemantauan berterusan," kata Barnes kepada pemberita.
Dalam pada itu Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dalam satu kenyataan mengecam tembakan itu dan mahu undang-undang senjata api lebih ketat.
"Kejadian seperti ini tidak boleh diterima, sepatutnya anak-anak (pelajar) ini mendapat perlindungan namun ada yang terbunuh akibat penggunaan senjata api yang berleluasa.
"Kita perlu memberikan perhatian serius berhubung perkara ini. Kejadian ngeri ini bukan lagi biasa," katanya dalam satu kenyataan.
"Kita memerlukan Kongres untuk bertindak. Sekarang...," tambah kenyataan itu- AFP