fb fb fb fb fb

India perketat langkah antipencemaran ketika kualiti udara semakin buruk

Foto Reuters

DELHI, 16 Disember - India telah mengambil langkah drastik bagi menangani kemerosotan kualiti udara di bahagian utara negara itu, khususnya di Delhi dan kawasan sekitarnya.

Arahan baharu termasuk pelaksanaan mod hibrid bagi sekolah, pelarasan waktu bekerja untuk kakitangan kerajaan, dan sekatan terhadap kenderaan diumumkan pada Isnin.

Menurut Lembaga Kawalan Pencemaran Pusat, tahap pencemaran udara di Delhi mencatatkan bacaan indeks kualiti udara (AQI) sebanyak 379, yang dikategorikan sebagai "sangat buruk" dalam tempoh 24 jam sehingga tengah hari Isnin.

Keadaan dijangka bertambah buruk pada Selasa, dengan pencemaran mencapai tahap "teruk" apabila bacaan AQI melebihi 400.

Bacaan ini bukan sahaja memberi risiko kepada individu yang sihat, malah turut mengancam nyawa mereka yang mengalami penyakit sedia ada.

Suruhanjaya Pengurusan Kualiti Udara (CAQM) menjelaskan bahawa sekatan-sekatan itu dikenakan berikutan "keadaan meteorologi yang sangat tidak menggalakkan, termasuk angin yang tenang," yang menyebabkan bahan pencemar terperangkap di udara.

Arahan CAQM turut mengarahkan sekolah untuk melaksanakan kelas secara hibrid, gabungan dalam talian dan fizikal, bagi pelajar sehingga Tahun 5 serta meminta kerajaan persekutuan memutuskan pelarasan waktu bekerja bagi pejabat kerajaan.

India utara sering menghadapi masalah pencemaran udara yang teruk setiap musim sejuk.

Udara sejuk dan suhu rendah memerangkap bahan pencemar seperti asap dari kenderaan, habuk pembinaan, dan pembakaran ladang secara haram di negeri jiran seperti Punjab dan Haryana.

Pada November lalu, Delhi mencatatkan tahap pencemaran tertinggi musim ini dengan bacaan AQI mencecah 494.

Situasi itu mendorong kerajaan untuk menutup sekolah dan mengarahkan separuh daripada kakitangan pejabat bekerja dari rumah.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN