fb fb fb fb fb

Ibu mangsa korban kebakaran LA kesal gagal selamatkan anak kerana kehabisan air

Shelley Sykes (KIRI) dan anaknya Rory Sykes

SYDNEY, 13 Januari- Seorang ibu dari Australia menceritakan bagaimana dia cuba menyelamatkan anak lelakinya yang buta daripada kebakaran hutan di Los Angeles, tetapi gagal kerana bekalan air habis.

Shelley Sykes, seorang usahawan dalam penerbitan TV, memberitahu media Australia mengenai perjuangan terdesaknya untuk menyelamatkan anaknya berusia 32 tahun, Rory, yang menghidap cerebral palsy.

Kebakaran hutan yang ditiup angin kencang telah membunuh sekurang-kurangnya 24 orang di Los Angeles, memusnahkan komuniti dan rumah.

Sykes berkata di media sosial bahawa dia dan anaknya tinggal di sebuah estet seluas 6.8 hektar (17 ekar) di Malibu, sebuah bandar pantai di Los Angeles County.

Rory Sykes, yang pernah muncul dalam rancangan TV British "Kiddy Kapers" pada tahun 1990-an, tinggal di sebuah kotej persendirian di estet itu, katanya.

Anaknya buta dan menghadapi kesukaran berjalan.

“Kaki Rory mula membengkak akibat panas, dan dia tidak dapat berjalan dengan baik. Dia juga menghadapi masalah perut. Jadi dia tidak mahu berada jauh dari bilik mandi,” kata Sykes kepada Channel Nine Australia pada Ahad.

“Jadi dia berkata, ‘Ibu, pergilah. Saya akan tinggal di sini.’”

Sykes berkata dia tidak dapat meninggalkan anaknya bersendirian di estet tersebut.

“Saya tinggal di rumah utama bersama dua ekor burung merak di dalam bilik mandi kerana sukar untuk bernafas. Saya duduk di lantai dengan air botol dan cuba untuk terus basah.”

Sykes berkata dia melihat bara api di atas bumbung kotej anaknya dan cuba memadamkannya dengan hos, tetapi tiada air yang keluar.

Dia kemudian memandu ke balai bomba terdekat untuk meminta bantuan, tetapi diberitahu bahawa mereka juga tidak mempunyai bekalan air.

Pili bomba di beberapa kawasan di Los Angeles dilaporkan kering semasa usaha awal memadamkan kebakaran, menimbulkan kemarahan dalam kalangan penduduk.

Pihak berkuasa memberitahu akhbar Los Angeles Times bahawa kekurangan air berlaku kerana skala dan tempoh usaha pemadaman kebakaran itu melebihi keupayaan infrastruktur bandar tersebut.

Apabila pihak bomba membawa Sykes kembali ke rumahnya, dia mendapati kotej anaknya telah musnah sepenuhnya.

“Tiada apa-apa yang tinggal,” katanya kepada Channel Nine.

Sykes yang berkongsi tarikh lahir dengan anaknya berkata dia sangat terkesan dengan kematian anaknya itu.

“Hati saya hancur, saya sangat sedih, sukar untuk saya terima kesedihan ini.”

Pihak bomba berkata anaknya meninggal dunia akibat keracunan karbon monoksida, kata Sykes.

Sykes megakui kesal kerana tidak dapat mengalihkan anaknya daripada bahaya.

“Saya mempunyai tangan yang patah. Saya tidak dapat mengangkatnya. Saya tidak dapat mengalihkannya,” katanya dalam satu temu bual berasingan dengan Channel 10 Australia.- AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE