ANOCHORI, 7 Disember - Hujan lebat akibat Ribut Byron menyebabkan Sungai Enipeas melimpah pada Sabtu, sekali gus menenggelami kampung Anochori berhampiran Farsala, Greece.
Keadaan itu memaksa pihak berkuasa mengeluarkan amaran kecemasan supaya penduduk berpindah ke kawasan lebih tinggi.
Air banjir yang melimpah masuk ke rumah, halaman dan jalan utama, menenggelamkan kenderaan serta memutuskan akses ke kampung berhampiran, Katochori.
Penduduk bertungkus-lumus mengepam air dari halaman dan ruang bawah tanah. Menurut Chrysostomos Papakonstantinou, kawasan itu kerap dilanda banjir sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan infrastruktur sungai yang rosak termasuk jambatan yang musnah ketika ribut Daniel masih belum dibaiki.
“Rumah-rumah di pinggir kampung terletak di kawasan rendah, jadi kebanyakan air berkumpul di situ. Apabila sungai melimpah, air masuk dari hujung kampung dan menenggelami rumah kami,” kata Papakonstantinou.
Ribut Daniel, yang digambarkan ahli meteorologi sebagai ribut terburuk melanda Greece sejak 1930, membawa kemusnahan besar pada 2023, mengorbankan 15 orang di Greece sebelum bergerak ke Libya dan mengakibatkan lebih 2,500 kematian.
Papakonstantinou berkata pihak berkuasa gagal menangani masalah banjir berulang yang menghantui kampung itu lebih lima tahun.-REUTERS