fb fb fb fb fb

Hujan lebat berterusan, Presiden Korea Selatan kerah sumber besar-besaran

FOTO REUTERS

SEOUL, 18 Julai – Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, mengadakan mesyuarat pengurusan bencana hari ini selepas hujan lebat berterusan membadai beberapa wilayah negara itu untuk hari ketiga berturut-turut.

“Kita perlu kerah sumber yang mencukupi, malah mungkin secara berlebihan, untuk elak kerosakan dan kemalangan,” tegas Lee yang sejak awal pentadbirannya lantang mendesak peningkatan keupayaan kerajaan dalam aspek pencegahan dan respons bencana.

Beliau turut mengarahkan semua kementerian dan agensi untuk menggerakkan sepenuhnya segala sumber serta kapasiti pentadbiran bagi menghadapi krisis cuaca tersebut.

Menurut Kementerian Keselamatan, lebih 5,000 penduduk kini dipindahkan ke pusat perlindungan, manakala empat orang disahkan maut dan seorang lagi masih hilang.

Amaran hujan lebat kekal berkuat kuasa di sebahagian besar wilayah barat dan selatan negara itu. Jabatan Meteorologi Korea turut memberi amaran kemungkinan berlaku tanah runtuh dan banjir besar sehingga Sabtu, 19 Julai.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE