fb fb fb fb fb

Hizbullah lancar serangan dron terbesar ke pangkalan tentera Israel

Foto: AFP

BEIRUT, 8 Julai- Hizbullah melancarkan operasi udara "terbesar", dengan menghantar dron letupan ke pangkalan perisikan tentera Israel di kawasan Dataran Tinggi Golan.

Ketika mengumumkan "operasi terbesar" yang dilancarkan oleh pasukan udaranya, Hizbullah menyatakan dalam satu kenyataan bahawa anggotanya menghantar "puluhan pasukan dron untuk menyerang pusat perisikan" di Gunung Hermon.

Tentera Israel menyatakan sebuah dron letupan "jatuh di kawasan lapang Gunung Hermon" namun "tiada kecederaan" dilaporkan.

Hezbollah menyatakan serangan dron itu adalah sebahagian daripada 'tindak balas" kepada pembunuhan seorang anggotanya dalam serangan pada Sabtu di timur Lubnan, kira-kira 100 kilometer daripada sempadan
Israel-Lubnan.

Serangan ke atas Gunung Hermon menyasarkan sistem risikan, di mana ia berjaya "memusnahkan dan memulakan kebakaran besar", tambah Hizbullah.

Dalam dua kenyataan oleh tentera Israel, ia menyatakan bahawa sistem pertahanannya "berjaya memintas" beberapa dron yang dilancarkan dari Lubnan, selepas siren dibunyikan di kawasan Dataran Tinggi Golan.

Sepanjang Ahad, Hizbullah mengumumkan empat lagi serangan ke atas pangkalan tentera Israel di seberang sempadannya, dengan melancarkan beberapa roket serta peluru berpandu. Pihak berkuasa Israel melaporkan empat orang cedera.

Setakat ini, serangan di sempadan tersebut meragut sekurang-kurangnya 497 nyawa di Lubnan, kebanyakan mereka adalah anggota Hizbullah, termasuk 95 orang awam, berdasarkan kiraan AFP.

Di Israel pula, sekurang-kurangnya 16 askar dan 11 orang awam maut, menurut pihak berkuasa.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI