fb fb fb fb fb

Hati-hati tawaran pakej haji - TH

MEKAH, 6 Jun- Tabung Haji (TH) menasihatkan orang ramai khususnya bakal haji untuk berhati-hati dengan pelbagai tawaran pakej haji oleh agensi pelancongan yang mengaku memperoleh Visa Furada, bagi mengelakkan kejadian jemaah terkandas di lapangan terbang.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman menyarankan supaya bakal jemaah untuk mendapatkan perkhidmatan berkenaan daripada Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan TH sahaja.

Ketika ini, hanya 22 syarikat yang dilantik TH sebagai PJH untuk menguruskan pakej berkenaan.

Individu atau syarikat yang menawarkan pakej tanpa kelulusan TH adalah salah serta boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

"Bagi mereka yang peroleh Visa, itu adalah budi bicara dan hak mutlak kerajaan Arab Saudi untuk memberi kepada mana-mana pihak.

"Cuma ingin diingatkan bagi yang ingin menunaikan haji, mereka perlu memilih pakej-pakej yang disediakan syarikat yang dilesenkan," katanya kepada pemberita di sini.

Kira-kira 400 jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada tahun lepas.

Dalam masa yang sama, beliau turut meluangkan masa melawat operasi petugas media di Abraj Jenadriah.

Selain RTM, rombongan petugas media juga disertai agensi media lain seperti TV AlHijrah, TV3, Bernama, Utusan, Sinar Harian, Berita Harian dan radio IKIM.

(Syed Saleh Syed Abdul Rahman)

Media Baharu