fb fb fb fb fb

Hanya 12 trak hantar makanan, air di utara Gaza sejak Oktober

Foto Fail / Reuters

GAZA, 23 Disember – Sebanyak 12 trak berjaya mengagihkan makanan dan air di wilayah utara Gaza dalam tempoh dua setengah bulan, menurut kenyataan kumpulan bantuan antarabangsa, Oxfam, pada Ahad.

Organisasi tersebut turut memberi amaran mengenai situasi kemanusiaan yang semakin kritikal di kawasan Palestin yang dikepung.

Namun, pihak berkuasa Israel menolak dakwaan itu, menyifatkannya sebagai "sengaja dan secara tidak tepat" mengabaikan usaha kemanusiaan yang telah dilaksanakan mereka.

"Daripada 34 trak makanan dan air yang mendapat kebenaran untuk memasuki wilayah utara Gaza dalam tempoh 2.5 bulan lalu, hanya 12 trak berjaya mengagihkan bantuan kepada rakyat Palestin yang kelaparan akibat kelewatan dan halangan sistematik oleh tentera Israel," menurut Oxfam dalam kenyataannya.

Tambah Oxfam, "Tiga daripada trak ini, setelah makanan dan air dihantar ke sekolah tempat penduduk berlindung, kawasan tersebut kemudiannya dibersihkan dan dibom dalam beberapa jam."

Israel, yang mengawal ketat kemasukan bantuan ke Gaza sejak perang tercetus, sering menuding jari kepada apa yang didakwa sebagai ketidakupayaan organisasi bantuan untuk menguruskan dan mengagihkan bantuan berskala besar.

Dalam laporan lain yang memberi tumpuan kepada isu air, Human Rights Watch (HRW) mendakwa wujudnya usaha sistematik oleh pihak berkuasa Israel untuk menyekat akses air kepada penduduk Gaza, yang "berkemungkinan telah menyebabkan ribuan kematian dan akan terus menyebabkan kematian."-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN