fb fb fb fb fb

Hampir 4 juta pekerjaan di Korea Selatan bakal digantikan AI

FOTO HIASAN

SEOUL, 16 November- Hampir empat juta pekerjaan di Korea Selatan berisiko digantikan oleh teknologi kecerdasan buatan atau AI dalam tempoh dua dekad akan datang, menurut satu kajian bank pusat yang dikeluarkan pada Khamis berkata.

Teknologi kecerdasan buatan yang berkembang pesat telah mencetuskan kebimbangan global terhadap segala-galanya daripada kehilangan pekerjaan dan serangan siber kepada manusia yang kehilangan kawalan ke atas sistem yang mereka reka bentuk.

Kajian baharu Bank of Korea menunjukkan kira-kira 3.9 juta pekerjaan di Korea Selatan berisiko apabila penggunaan AI berkembang di dalam negara, dengan doktor, peguam, akauntan dan ahli kimia antara profesion yang paling terancam.

"Pekerja berpendapatan tinggi dengan latar belakang akademik tinggi menghadapi pendedahan yang lebih besar kepada AI dan mempunyai risiko yang lebih besar untuk diganti," kata kajian itu.

Pekerjaan kolar putih ini paling terancam kerana AI boleh menjalankan tugas analitik dan kognitif mereka dengan mudah, tambahnya.

Golongan yang paling kurang berkemungkinan kehilangan pekerjaan kerana teknologi yang semakin maju adalah mereka dalam bidang keagamaan, perkhidmatan makanan dan pengajaran, menurut kajian itu.

Laporan Bank of Korea menyatakan bahawa walaupun teknologi AI adalah ancaman kepada pekerjaan sedia ada, ia juga mewujudkan peluang pekerjaan baharu, termasuk untuk jurutera yang membangunkan dan menyelenggara sistem AI, serta di syarikat permulaan berkaitan AI.

Tetapi memandangkan jawatan baharu itu tertumpu dalam satu bidang tertentu, "sesetengah pekerja mungkin mengalami kesukaran dalam proses peralihan pekerjaan yang didorong oleh pengenalan AI", tambahnya.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE