fb fb fb fb fb

Hamas tunggu maklum balas Israel mengenai gencatan senjata

Pasukan penyelamat Palestin memindahkan mangsa dari bangunan kediaman yang diserang tentera Israel/ REUTERS

KAHERAH, 7 Julai- Hamas sedang menunggu maklum balas dari Israel mengenai cadangan gencatan senjata, kata dua pegawai daripada kumpulan itu pada Ahad.

"Kami telah meninggalkan jawapan kami kepada pengantara dan menunggu untuk mendengar jawapan pendudukan," kata pegawai Hamas yang tidak mahu dikenali kepada Reuters.

Rancangan tiga fasa untuk wilayah Palestin itu dikemukakan pada akhir Mei oleh Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan sedang diusahakan oleh Qatar dan Mesir.

Seorang lagi pegawai Palestin berkata, perkembangan mengenai perbincangan gencatan senjata sedang dilakukan dengan Qatar.

"Mereka telah berbincang untuk memberi maklum balas dalam beberapa hari," katanya.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu memaklumkan bahawa rundingan akan diteruskan namun tidak memberikan sebarang perincian.

Menurut Pegawai Kesihatan Gaza lebih 38,000 rakyat Palestin telah terbunuh dalam serangan tentera Israel.

Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) bagi Pelarian Palestin menerusi catatan di X, menyifatkan keadaan itu semakin tragis.

"Keluarga terus berpindah secara paksa selain mencetuskan kemusnahan besar-besaran dan ketakutan berterusan. Bekalan penting semakin berkurang serta penularan penyakit."- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI