GAZA , 5 Disember- Hamas pada Khamis mengumumkan bahawa ia menerima cadangan Mesir untuk menubuhkan jawatankuasa bersama Palestin bagi menjalankan pentadbiran di Semenanjung Gaza selepas perang yang sedang berlangsung dengan Israel, lapor Agensi Anadolu (AA).
Dalam kenyataan itu, Hamas memaklumkan pihaknya mengadakan perbincangan mendalam dengan Kumpulan Fatah di Kaherah untuk membentuk satu jawatankuasa bagi mentadbir Gaza dengan melaksanakan kerangka kerja yang telah dipersetujui sebelumnya untuk mencapai perpaduan Palestin.
“Hamas menyatakan persetujuannya terhadap cadangan Mesir untuk membentuk jawatankuasa sokongan komuniti yang akan berfungsi melalui mekanisme terangkum nasional,” menurut kenyataan itu.
Delegasi Hamas di Kaherah turut mengadakan rundingan dengan kumpulan Popular Front for the Liberation of Palestine (PFLP) bagi membincangkan perkembangan di Gaza dan Tebing Barat.
Pertemuan tambahan turut diadakan bersama tokoh-tokoh penting Palestin, dan mereka berkongsi perkembangan perbincangan dengan Fatah serta cadangan Mesir, katanya.
Sejak 2007, perpecahan geografi dan politik telah wujud antara Hamas dan Fatah, dengan pelbagai usaha perantaraan serantau dan antarabangsa serta perjanjian gagal menyatukan kedua-dua pihak.
Perpecahan ini menyebabkan pentadbiran Palestin terpecah, dengan Hamas menguasai Gaza, manakala Pihak Berkuasa Palestin yang diketuai Fatah mentadbir beberapa bahagian di Tebing Barat.
Israel menyerang Semenanjung Gaza, menyebabkan hampir 44,600 orang terkorban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta lebih 105,700 lagi cedera.
Tahun kedua konflik ini menyaksikan kecaman antarabangsa yang semakin meningkat, dengan pelbagai pihak mengutuk serangan itu serta sekatan bantuan sebagai usaha yang disengajakan untuk memusnahkan populasi.
Bulan lepas, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung serangannya ke atas Gaza.- BERNAMA-AA