KAHERAH, 12 Ogos- Hamas meminta pengantara untuk membentangkan rancangan berdasarkan rundingan sebelumnya dan bukannya terlibat dalam rundingan baharu bagi perjanjian gencatan senjata di Gaza.
Perkara itu sekali gus menimbulkan keraguan mengenai penyertaannya dalam mesyuarat pada Khamis.
Minggu lalu, pemimpin Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar menggesa Israel dan Hamas bertemu untuk mengadakan rundingan pada 15 Ogos sama ada di Kaherah atau Doha untuk memuktamadkan gencatan senjata di Gaza selain perjanjian pembebasan tebusan.
Namun Israel berkata ia akan menghantar perunding untuk mengambil bahagian dalam mesyuarat itu. Hamas pada mulanya berkata ia sedang mengkaji tawaran itu tetapi kini membayangkan ia mungkin tidak menyertai pusingan baru rundingan.
"Rundingan itu menyeru pengantara untuk membentangkan rancangan untuk melaksanakan apa yang dipersetujui pada 2 Julai 2024, berdasarkan visi Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB)," kata Hamas dalam satu kenyataan.
"Pengantara harus menguatkuasakan perkara ini ke atas pendudukan (Israel) dan bukannya meneruskan rundingan lanjut atau cadangan baharu yang akan memberi perlindungan kepada pencerobohan pendudukan dan memberinya lebih masa untuk meneruskan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat kita (Palestin)," tambah kenyataan itu.
Hamas berkata ia telah menunjukkan fleksibiliti sepanjang proses rundingan tetapi tindakan Israel, termasuk pembunuhan Pemimpin Hamas Ismail Haniyeh di Tehran akhir bulan lalu, menunjukkan bahawa ia tidak serius untuk meneruskan perjanjian gencatan senjata.
Namun Israel tidak menafikan atau mengaku bertanggungjawab ke atas insiden itu.
Joe Biden membentangkan cadangan gencatan senjata tiga fasa dalam ucapan pada 31 Mei lalu. Washington dan pengantara serantau sejak itu cuba mengatur perjanjian gencatan senjata di Gaza tetapi berulang kali menghadapi halangan.
Secara berasingan, terdapat peningkatan risiko perang di Asia Barat yang lebih meluas selepas pembunuhan kedua-dua Pemimpin Hamas Haniyeh di Iran dan Komander Tentera Hezbollah Fuad Shukr di Beirut baru-baru ini.
Israel melancarkan serangannya ke atas Gaza selepas pejuang Hamas menyerbu ke selatan Israel pada 7 Oktober, membunuh 1,200 orang, kebanyakannya orang awam, dan menangkap lebih 250 tebusan, menurut jumlah Israel.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sejak Israel melancarkan serangan ke atas Palestin hampir 40,000 rakyatnya terbunuh dalam serangan kejam itu.- REUTERS