UKRAINE, 12 Ogos- Pencerobohan masuk ke wilayah Rusia adalah untuk "memulihkan keadilan" dan menekan tentera Moscow, dalam pengakuan pertamanya terhadap serangan mengejut Kiev ke wilayah barat Kursk, kata Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskiy.
Tentera Moscow dalam pertempuran sengit menentang pencerobohan terbesar Kiev ke wilayah Rusia sejak permulaan perang, menyebabkan bahagian barat daya Rusia itu terdedah kepada ancaman serangan sebelum bantuan tiba.
Menurut penganalisis tentera, pihak berkuasa Rusia bergegas memindahkan penduduk dan menugaskan pasukan keselamatan di tiga wilayah sempadan pada Sabtu, selepas serangan dilakukan.
Belarus, sekutu setia Moscow, juga menghantar lebih banyak tentera ke sempadan dengan Ukraine serta menuduh Kiev melanggar ruang udaranya.
Zelenskiy dalam satu ucapan video berkata, beliau telah membincangkan operasi itu dengan Komander Tertinggi Ukraine Oleksandr Syrskyi dan berjanji untuk bertindak balas selepas Rusia melancarkan pencerobohan besar-besaran pada Februari 2022.
"Hari ini, saya menerima beberapa laporan daripada Panglima Syrskyi berhubung barisan hadapan dan tindakan kami untuk menolak perang ke wilayah penceroboh," katanya pada Sabtu.
"Ukraine membuktikan bahawa ia sememangnya boleh memulihkan keadilan dan memastikan jenis tekanan ke atas penceroboh."
Sementara itu Kementerian Pertahanan Rusia berkata, ia telah memusnahkan 14 dron Ukraine dan empat peluru berpandu balistik taktikal Tochka-U di wilayah Kursk, dan 18 dron ke atas wilayah Rusia lain yang sering disasarkan oleh Ukraine.
Dalam satu kenyataan, ia menggelar tindakan pencerobohan itu sebagai "biadab."
Ukraine paling banyak menduduki wilayah Rusia tanpa membuat tuntutan ke atasnya, manakala Rusia menguasai lebih 100,000 kilometer persegi wilayah Ukraine yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Sementara itu Jeneral Tertinggi Rusia, Valery Gerasimov, berkata, serangan telah dihentikan, tetapi Rusia tidak menolak bahawa tentera Ukraine akan kembali ke sempadan.- REUTERS