NEW YORK, 24 Mei- Seorang hakim di Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan perintah sementara bagi menghalang pentadbiran Presiden AS Donald Trump daripada menarik balik kelayakan Universiti Harvard untuk menerima pelajar antarabangsa.
Pihak White House sebelum ini menyifatkan dasar itu sebagai tindak balas terhadap isu anti-Semitisme di universiti tersebut.
Namun, menurut Harvard langkah tersebut sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas Trump untuk menghukum universiti itu kerana enggan "menyerahkan kebebasan akademik".
Perintah mahkamah itu memberi kelegaan sementara kepada ribuan pelajar antarabangsa yang berdepan kemungkinan dipaksa berpindah universiti bawah dasar "pelanggaran terang-terangan" terhadap Perlembagaan Amerika Syarikat serta undang-undang persekutuan lain.
Harvard turut menyatakan bahawa dasar itu akan "menjejaskan dan memberi kesan segera" terhadap universiti tersebut dan lebih 7,000 pemegang visa.
Seorang ahli sejarah presiden dan profesor madya di Florida Atlantic University, Nicole Anslover, berkata impak terhadap Harvard adalah "amat besar" memandangkan kira-kira satu perempat daripada jumlah keseluruhan pelajarnya adalah pelajar antarabangsa.
"Jadi, perkara ini akan memberi kesan kepada Harvard? Sangat besar – hampir suku, iaitu 25 peratus daripada jumlah kemasukan pelajar terdiri daripada pelajar antarabangsa.
"Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS Kristi Noem menyatakan bahawa Harvard adalah sebuah institusi yang sangat kaya dan tidak akan terjejas tanpa yuran pengajian ini. Menurut beliau kemasukan pelajar antarabngsa digunakan untuk menambah dana universiti.
"Saya ingin jelaskan bahawa wang yuran pengajian tidak disalurkan ke dalam dana tersebut. Wang yuran digunakan untuk perkara seperti bantuan pelajar, program pelajar, gaji, pembayaran kakitangan dan pensyarah.
"Jadi, kehilangan sumber daripada yuran pengajian akan menjejaskan keupayaan Harvard untuk menjaga kebajikan pelajar, kakitangan dan pensyarah sedia ada," kata Nicole Anslover.
Langkah itu merupakan episod terbaharu dalam pertelingkahan berterusan antara Harvard dan pihak White House, ketika Trump berusaha untuk memaksa institusi seperti universiti, firma guaman, media, badan kehakiman dan lain-lain yang menegakkan prinsip bebas daripada pengaruh politik, agar tunduk kepada agenda pemerintahannya.
Trump dan sekutunya dari Parti Republikan telah lama menuduh universiti terkemuka negara itu sebagai bersifat berat sebelah ke arah fahaman kiri.- REUTERS