SWITZERLAND, 24 Mei- Tor Alva, antara struktur cetakan 3D tertinggi di dunia di perkampungan kecil Mulegns, Switzerland.
Ia bermaksud 'Menara Putih' dalam bahasa Romansh — salah satu bahasa wilayah di Switzerland — menara konkrit putih setinggi hampir 30 meter itu merupakan hasil kerjasama antara ETH Zurich dan Yayasan Budaya Origen, dan menampilkan teknologi pembinaan digital yang canggih.
Pihak pemaju menyatakan ia merupakan menara cetakan 3D tertinggi di dunia.
Direka bentuk sebagai pusat budaya, menara tersebut bertujuan untuk menghidupkan semula perkampungan Mulegns yang kini hanya didiami 11 orang penduduk dan berdepan penyusutan populasi.
Profesor Walter Kaufmann dari ETH Zurich berkata, struktur berkenaan dibina tanpa penggunaan acuan konvensional dan menampilkan 32 tiang konkrit berukir yang dihasilkan menerusi teknologi cetakan 3D menggunakan robotik.
Campuran konkrit baharu dan kaedah tetulang inovatif yang dibangunkan oleh penyelidik ETH membolehkan struktur tersebut menampung beban dengan baik.
"Kami berjaya mengintegrasikan tetulang dalam konkrit cetakan 3D sehingga ia berfungsi seperti konkrit bertetulang biasa, walaupun secara asasnya ia sangat berbeza.
"Dari segi bahan, ia melibatkan campuran yang kami gunakan — campuran tiga komponen di mana kami menambah bahan pemekat kelikatan dan bahan pemecut hanya pada muncung pam mortar.
"Bahan pemekat kelikatan ini berfungsi untuk mengelakkan konkrit daripada mengalir ke bawah, manakala bahan pemecut membantu mempercepat pembentukan kekuatan yang mencukupi dan juga untuk lapisan konkrit seterusnya supaya struktur tidak runtuh.
"Inovasi ketiga pula adalah pada peringkat robotik, di mana kami berjaya mencapai integrasi robotik sepenuhnya bagi pemasangan tetulang antara lapisan secara melintang semasa proses cetakan. Jadi, kerjasama antara robot pencetak dan robot pemasang tetulang — saya rasa itulah tiga inovasi utama kami," jelas Walter Kaufmann.
Rekaan menara yang menyerupai kek berlapis yang dihias indah itu turut memberi penghormatan kepada sejarah kawasan tersebut yang terkenal dengan pembuatan manisan.
Terletak di Julier Pass berhampiran St. Moritz, Tor Alva dibuka kepada pengunjung pada 23 Mei dan ia dijangka kekal di Mulegns selama lima tahun sebelum dipindahkan ke lokasi baharu.
Menurut pemaju, projek ini menonjolkan inovasi dalam teknologi pembinaan dan berhasrat merancakkan pelancongan lestari di rantau tersebut.- REUTERS