BRAZIL, 24 Mei- Puluhan anak penyu dilepaskan ke laut di Pantai Futuro, Fortaleza, di timur laut Brazil sebagai sebahagian daripada usaha pemuliharaan sempena sambutan Hari Penyu Sedunia.
Program pelepasan tersebut diselaraskan beberapa organisasi alam sekitar dan menarik kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk penduduk tempatan, pelancong serta pelajar yang hadir untuk menyaksikan anak penyu berenang ke laut, sambil mempelajari tentang pemuliharaan marin.
Acara itu turut memberi peluang pendidikan unik kepada orang ramai mengenai kepentingan melindungi spesies yang semakin diancam kepupusan.
Penyu memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem pantai dan marin. Ia menyumbang kepada kesihatan terumbu karang serta kawasan padang lamun (ekosistem khas di laut dangkal).
Namun, walaupun mempunyai kepentingan ekologi besar, haiwan purba itu terus berdepan pelbagai ancaman termasuk kemusnahan habitat, pencemaran plastik serta risiko tertangkap secara tidak sengaja dalam peralatan menangkap ikan.
Hari Penyu Laut Sedunia disambut pada setiap 23 Mei bagi meningkatkan kesedaran tentang haiwan itu serta menggalakkan pemuliharaan alam sekitar menerusi pendidikan komuniti dan aktiviti pemeliharaan.- REUTERS