fb fb fb fb fb

Guterres desak bantuan segera ke Gaza, cegah krisis kebuluran

Antonio Guterres/ REUTERS

NEW YORK, 24 Mei- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyeru lebih banyak bantuan kemanusiaan segera disalurkan ke Gaza, serta pelaksanaan langkah-langkah keselamatan dan perlindungan untuk memastikan penghantaran selamat.

Perkara itu susulan keseluruhan populasi di wilayah itu yang dianggarkan lebih dua juta orang berisiko tinggi mengalami kebuluran.

Guterres berkata, rakyat Palestin di Gaza kini sedang menghadapi fasa paling kejam dalam konflik yang berpanjangan ini.

Beliau menegaskan bahawa selama hampir 80 hari, Israel telah menyekat kemasukan bantuan antarabangsa yang amat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa.

Israel perlu bertanggungjawab atas tindakan yang dilakukan selain mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Ia tidak boleh memindahkan, mengusir atau menghalau penduduk awam secara paksa dari wilayah yang didudukinya selain perlu membenarkan dan memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan.

Justeru Israel minggu ini mengumumkan bahawa ia akan mula membenarkan bantuan masuk ke Gaza selepas 11 minggu sekatan penuh terhadap bekalan dan makanan.

Guterres berkata, akhirnya beberapa buah kedai roti di selatan dan tengah Gaza telah mula beroperasi, namun beliau menyifatkan ia sebagai hanya sinar harapan kecil dalam operasi ketenteraan berskala besar yang sedang berlangsung dan masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan asas rakyat Gaza.

"Dalam beberapa hari kebelakangan ini, hampir 400 buah trak telah mendapat kelulusan untuk memasuki Gaza melalui lintasan Kerem Shalom.

"Namun, bekalan daripada hanya 115 trak sahaja yang berjaya diagihkan. Tiada apa-apa yang berjaya dihantar ke utara Gaza yang masih dikepung. Kami sedang berusaha tanpa henti untuk menyalurkan apa sahaja bantuan yang boleh kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Guterres turut memetik laporan penilaian kebuluran global yang menunjukkan bahawa keseluruhan populasi Gaza kini berdepan risiko kebuluran.

"Segala bentuk bantuan yang telah dibenarkan setakat ini hanyalah ibarat setitis air dalam banjir besar bantuan yang sepatutnya diperlukan. Keperluannya amat besar dan halangannya juga sangat mencabar.

"Kuota ketat dikenakan terhadap barangan yang boleh diagihkan, disertai dengan pelbagai prosedur kelewatan yang tidak perlu. Barangan penting lain seperti bahan api, tempat perlindungan, gas memasak dan bekalan penulenan air pula dilarang sama sekali," jelasnya lagi.

Guterres turut memaklumkan bahawa operasi ketenteraan Israel kini semakin memuncak, dengan tahap kemusnahan dan kematian yang amat membimbangkan.

Ketika ini, 80 peratus daripada wilayah Gaza telah diisytihar sebagai zon ketenteraan atau kawasan yang memerlukan penduduknya berpindah — menjadikan empat perlima daripada Gaza sebagai kawasan larangan buat rakyatnya sendiri.

Tanpa akses bantuan yang pantas, boleh dipercayai, selamat dan berterusan, lebih ramai akan terkorban, dan ia akan meninggalkan kesan terhadap keseluruhan populasi di Palestin.

Beliau sekali lagi menggesa agar gencatan senjata dicapai antara Israel dan pejuang Hamas selain pembebasan segera tanpa syarat terhadap semua tahanan, serta akses kemanusiaan sepenuhnya ke Gaza.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin, lebih 53,800 nyawa telah terkorban di Gaza akibat pengeboman dan serangan darat yang dilakukan Israel sejak 7 Oktober 2023.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI