MOSCOW, 24 Mei- Rusia melaporkan bahawa pasukannya meneruskan operasi ketenteraan di beberapa arah, manakala Ukraine memaklumkan telah menangkis pelbagai serangan oleh pihak Rusia.
Kementerian Pertahanan Rusia dalam taklimat harian menyatakan bahawa pasukan tenteranya telah menguasai enam penempatan di wilayah Sumy, Kharkiv dan Donetsk antara 17 hingga 23 Mei.
Kementerian itu turut memaklumkan bahawa pasukan Rusia telah memusnahkan kereta kebal Ukraine, kenderaan perisai, sistem artileri, stesen asas peperangan elektronik dan depot peluru.
Sistem pertahanan udara Rusia dilaporkan telah memintas bom berpandu, peluru berpandu HIMARS, dan lebih 1,000 dron milik pasukan Ukraine.
Menurut Kenyataan Turus Angkatan Tentera Ukraine, pada hari sama, pihak negara itu turut melaporkan sebanyak 141 pertempuran berlaku di barisan hadapan dalam tempoh 24 jam, dan pasukan udara, peluru berpandu serta artileri Ukraine menyerang beberapa sasaran tentera Rusia.
Ukraine turut memaklumkan telah berjaya menangkis serangan Rusia di beberapa kawasan termasuk Kharkiv, Lyman, Toretsk, Pokrovsk dan Kursk, dengan memusnahkan kereta kebal, kenderaan perisai, sistem artileri, dron serta fasiliti tentera Rusia.
Sementara itu Kiev juga dilanda serangan peluru berpandu dan dron Rusia pada awal pagi Sabtu, dengan letupan kuat kedengaran di seluruh bandar tersebut.
Datuk Bandar Kiev memaklumkan sekurang-kurangnya lapan individu terbunuh dalam serangan udara tersebut dan letupan menyebabkan beberapa kebakaran berlaku di beberapa lokasi di bandar berkenaan.
Bagaimanapun sistem pertahanan udara Ukraine masih berfungsi dan beliau menyeru penduduk untuk segera mendapatkan perlindungan.
Tentera udara Ukraine pula menyatakan bahawa Rusia telah melancarkan serangan peluru berpandu balistik ke atas Kiev.
Menurut laporan media tempatan, sebanyak 50 dron serangan dikesan di ruang udara Ukraine, dengan kebanyakannya dilaporkan menuju ke arah Kiev.- REUTERS