GAZA, 24 Mei- Jumlah korban rakyat Palestin di Gaza meningkat kepada 53,822 orang manakala seramai 122,382 lagi cedera sejak tercetusnya konflik dicetuskan Israel pada awal Oktober 2023.
Kenyataan pihak berkuasa kesihatan Gaza memaklumkan, sejak Israel menyambung semula serangan udara berskala besar pada 18 Mac lalu, sekurang-kurangnya 3,673 rakyat Palestin telah terbunuh dan 10,341 lagi cedera.
Dalam tempoh 24 jam yang lalu kira-kira 60 individu dilaporkan terkorban dan 185 lagi cedera akibat serangan Israel.
Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (OHCHR) dalam satu kenyataan pada Jumaat turut melaporkan seramai 629 rakyat Palestin terbunuh sepanjang minggu lalu.
Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 358 orang dilaporkan terbunuh dalam serangan ke atas rumah dan khemah yang menempatkan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal (IDP).
Ia termasuk sekurang-kurangnya 148 kanak-kanak dan wanita.
Dalam pada itu OHCHR turut menyatakan kebimbangan serius pelbagai pihak susulan seranga berterusan Israel terus dilakukan ke atas Gaza.- REUTERS