LABUAN BAJO, 30 Ogos - Gunung Lewotobi yang terletak di wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia, meletus tiga kali pada malam Jumaat.
Menurut Pusat Vulkanologi da Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) letusan gunung menyebabkan kepulan abu mencecah sehingga 1,200 meter dari puncak.
Memetik laporan Antara, letusan pertama berlaku pada pukul 8.12 malam dengan kepulan abu naik setinggi 800 meter dari puncak, sebelum letusan kedua pada 9.58 malam yang menghamburkan abu setinggi 500 meter.
Letusan ketiga pada 11.38 malam pula lebih besar apabila abu menjulang sehingga 1,200 meter atau 2,784 meter dari paras laut.
Abu berwarna kelabu itu bergerak ke arah barat daya dan barat.
Gunung Lewotobi Laki-laki di Flores Timur kini berstatus Waspada Tahap III.
Pihak berkuasa mengeluarkan amaran kepada penduduk supaya tidak melakukan sebarang aktiviti dalam radius enam kilometer dari pusat letusan.
Orang ramai turut diingatkan mengenai potensi banjir lahar dingin ketika hujan lebat, khususnya di kampung berhampiran seperti Dulipali, Padang Pasir, Nobo, Nurabelen, Klatanlo, Hokeng Jaya, Boru dan Nawakote.
Penduduk setempat juga disaran memakai pelitup muka bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat debu gunung berapi serta diminta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.