fb fb fb fb fb

Gunung Lewotobi Laki-Laki meletus, ribuan penduduk dipindahkan secara kekal

FOTO AFP

FLORES TIMUR, 6 November- Indonesia akan memindahkan ribuan penduduk secara kekal dari kawasan sekitar gunung berapi yang meletus beberapa hari lalu.

Letusan gunung berapi tersebut menyebabkan sembilan kematian selepas memuntahkan api dan abu ke atas rumah penduduk, kata pihak berkuasa pada hari Rabu.

Pihak berkuasa telah menaikkan tahap amaran Gunung Lewotobi Laki-Laki kepada peringkat tertinggi dalam sistem empat peringkat selepas beberapa letusan sejak malam Ahad dan menasihati penduduk serta pelancong untuk mengelak radius tujuh kilometer dari kawah.

Lebih 2,600 keluarga yang tinggal di sekitar kawasan gunung berapi di pulau pelancongan popular Flores disarankan untuk berpindah secara kekal, menurut kenyataan dari agensi mitigasi bencana (BNPB).

“Gunung tidak boleh dipindahkan. Kita yang perlu pindah,” kata ketua agensi, Suharyanto, kepada penduduk di tempat perlindungan sementara, menurut video yang dikeluarkan oleh agensi tersebut pada Rabu.

“Kita perlu kosongkan radius 7 km ini.”

Ketua bencana tersebut mengatakan bahawa kerajaan akan membantu penduduk berpindah ke kawasan baru atau membina rumah di atas tanah yang mereka miliki.

Keputusan tersebur diambil sebagai langkah mitigasi jangka panjang bagi menghadapi kemungkinan letusan pada masa hadapan, kata jurucakap BNPB, Abdul Muhari.

Gunung Lewotobi Laki-Laki meletus tiga kali pada malam Isnin, memuntahkan abu sehingga dua kilometer ke udara, sebelum meletus sekali lagi pada hari Selasa.

Penduduk menggambarkan pengalaman ngeri mereka ketika menyedari berada bawah ancaman letusan, yang pada mulanya tersembunyi oleh cuaca buruk.

Lebih daripada 10,000 orang terjejas akibat letusan berkenaan, menurut BNPB.

Beberapa gempa bumi dan letusan telah berlaku di gunung berapi itu minggu lalu, dengan abu naik antara 500 hingga 2,000 meter ke udara beberapa hari berturut-turut.

Gunung Laki-Laki, yang bermaksud "lelaki" dalam bahasa Indonesia, mempunyai gunung berkembar yang lebih tenang, dinamakan mengikut perkataan untuk "perempuan".

Indonesia, sebuah negara kepulauan yang luas, kerap mengalami letusan akibat lokasinya di kawasan Lingkaran Api Pasifik.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE