JAKARTA, 4 November - Sekurang-kurangnya enam orang maut selepas Gunung Lewotobi Laki-Laki, di pulau Flores di timur Indonesia kembali meletus tengah malam tadi.
Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), Abdul Muhari mengesahkan berita itu dalam wawancara beliau bersama Kompas TV.
"Menurut koordinasi kami dengan pihak berkuasa tempatan, enam kematian telah disahkan," katanya.
Rakaman yang diterima AFP menunjukkan sekitar perkampungan berhampiran Gunung Lewotobi Laki-Laki diselaputi abu tebal, dengan beberapa kawasan dilaporkan terbakar.
Agensi Volkanologi Indonesia menaikkan tahap amaran ke paras tertinggi dan menasihatkan penduduk serta pelancong agar tidak melakukan sebarang aktiviti dalam radius tujuh kilometer dari kawah.
"Aktiviti vulkanik di Gunung Lewotobi Laki-Laki menunjukkan peningkatan ketara," menurut kenyataan agensi tersebut hari ini.
Agensi itu juga memberi amaran tentang risiko banjir lahar dan menasihatkan penduduk memakai topeng untuk mengelak kesan abu vulkanik.
Gunung tersebut mengalami beberapa letusan besar pada Januari lalu, yang memaksa pihak berkuasa meningkatkan status amaran ke tahap tertinggi dan memindahkan sekurang-kurangnya 2,000 penduduk.
Indonesia, sebuah negara kepulauan yang luas, sering mengalami letusan gunung berapi kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik, kawasan yang aktif secara vulkanik dan seismik.
Gunung Lewotobi Laki-Laki di Flores Timur, Indonesia, mencatat sejarah dengan letusan sejak abad ke-19.
Letusan besar pernah berlaku pada tahun 1861 dan 1907.
Pada tahun 2024, gunung ini kembali aktif dengan beberapa letusan pada 17 dan 28 Jun.
Kali terakhir letusan pada 11 September lalu, bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa. - AFP