HONOLULU, 25 Mei- Gunung berapi Kilauea di Hawaii kembali meletus awal pagi Ahad, dengan percikan lava dilaporkan mencecah ketinggian melebihi 300 meter.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat, letusan bermula sekitar pukul 4.15 pagi waktu tempatan, dengan aktiviti awal dikesan di bahagian utara sebelum meningkat kepada percikan lava berskala besar kira-kira setengah jam kemudian.
Bahagian selatan pula mula menunjukkan tanda-tanda letusan sekitar pukul 5.15 pagi.
Letusan itu merupakan kesinambungan daripada aktiviti gunung berapi tersebut yang bermula sejak 23 Disember tahun lalu.
Tiada amaran pemindahan dikeluarkan setakat ini, namun pihak berkuasa tempatan terus memantau situasi berkenaan secara berterusan.- REUTERS