SYDNEY, 26 Mei - Kerajaan Queensland di timur laut Australia mengumumkan peningkatan peruntukan bagi program kawalan jerung sebagai usaha melindungi pengunjung pantai daripada serangan haiwan itu, lapor Xinhua.
Menteri Industri Utama Queensland, Tony Perrett pada Ahad berkata kerajaan negeri akan melabur sebanyak AU$88.2 juta (US$57.3 juta) untuk Pelan Pengurusan Kawalan Jerung bagi tempoh 2025-2029.
Dalam kenyataan beliau, Perrett memaklumkan pelan baharu yang akan bermula 1 Julai itu akan menggabungkan “langkah keselamatan yang telah terbukti berkesan” seperti jaring jerung dan talian dram, dengan teknologi inovatif seperti pemantauan menggunakan dron dan sistem penghalau paus.
Di seluruh Australia, ratusan jaring jerung dipasang bagi memerangkap haiwan pemangsa itu dan mengelakkannya menghampiri pantai-pantai tumpuan.
Talian dram pula menggunakan mata kail berumpan untuk menarik dan menangkap jerung.
“Pengumuman hari ini adalah besar dan berani. Ia mengutamakan keselamatan perenang.
“Kami sedang mencari keseimbangan yang tepat antara menjamin keselamatan pengunjung pantai, memelihara alam marin, serta mengekalkan reputasi antarabangsa Queensland sebagai destinasi pelancongan yang selamat dengan pantai terbaik dunia,” katanya.
Langkah itu diambil susulan dua insiden serangan jerung yang mengorbankan nyawa di pantai Queensland pada musim panas 2024-2025.
Seorang lelaki berusia 40 tahun maut selepas diserang jerung ketika menangkap ikan dengan tombak di perairan tengah Queensland pada Disember, manakala seorang remaja perempuan berusia 17 tahun turut terbunuh dalam serangan berhampiran Brisbane pada Februari lalu. - BERNAMA