fb fb fb fb fb

Gunung berapi Etna meletus, Lapangan Terbang Catania ditutup

(FOTO AFP)

ROM, 14 Ogos- Lapangan terbang Catania telah menghentikan semua penerbangan susulan berlaku letusan baharu di Gunung berapi Etna dekat Sicily yang merupakan destinasi pelancongan popular Itali.

"Kerana letusan di Etna... semua pelepasan dan ketibaan dibatalkan sehingga pukul 1.00 tengah hari waktu tempatan," menurut pihak lapangan terbang menerusi X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter.

Sementara itu, Agensi Perlindungan Awam Kebangsaan Itali memaklumkan Etna kini diletakkan pada fasa 'berjaga-jaga' iaitu peralihan dari tahap F0 kepada F1.

"Peningkatan tahap menandakan kemungkinan besar akan berlaku 'semburan' lava dalam waktu terdekat," jelasnya dalam kenyataan.

Etna adalah gunung berapi aktif tertinggi di Eropah berukuran 3,324 meter dan telah meletus dengan kerap dalam tempoh 500,000 tahun yang lalu.

21 Mei lalu, Lapangan Terbang Catania juga ditutup akibat perkara sama.

Kira-kira 10 juta penumpang dicatatkan tahun lalu, transit melalui lapangan terbang tersebut yang menyediakan perkhidmatan di bahagian timur Sicily. -AFP

(FOTO AFP)

Media Baharu