LOS ANGELES, 12 Julai – Kebakaran hutan yang semakin merebak memaksa pihak berkuasa memindahkan pengunjung di North Rim, Taman Negara Grand Canyon, Amerika Syarikat pada Jumaat.
Kebakaran besar dikenali sebagai 'White Sage Fire' itu menyebabkan lokasi pelancongan itu ditutup serta merta dengan proses evakuasi dilaksanakan dengan tenang dan mematuhi arahan keselamatan.
Kebakaran mula merebak menghampiri kawasan Jacob Lake, Arizona dengan kira-kira 400 hektar kawasan terjejas.
Menurut jurucakap Pejabat Sheriff Coconino County, Jon Paxton, sekurang-kurangnya 500 individu yang kebanyakannya pelancong telah dipindahkan.
Operasi hotel dan premis lain juga diarahkan dihenti sementara atas faktor keselamatan.
Perkhidmatan Taman Negara turut menasihati orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti sebarang aktiviti di lokasi tersebut berikutan cuaca panas ekstrem dan asap tebal dari kebakaran.
Sementara itu, satu lagi taman negara popular, Black Canyon of the Gunnison di Colorado turut ditutup akibat kebakaran hutan. - AFP