fb fb fb fb fb

Lubnan tolak normalisasi dengan Israel

Presiden Lubnan, Joseph Aoun. - Foto AFP

BEIRUT, 12 Julai – Presiden Lubnan, Joseph Aoun menolak sebarang usaha untuk menormalkan hubungan dengan Israel.

Namun, menegaskan harapan untuk mencapai keadaan damai berikutan beberapa wilayah selatan negara itu masih diduduki tentera Israel.

Dalam kenyataan rasmi, Aoun menegaskan bahawa Lubnan ketika ini tahu membezakan antara keamanan dan normalisasi.

"Keamanan bermaksud tiada lagi perang, dan itu adalah keutamaan kami. Tetapi normalisasi bukan sebahagian daripada dasar luar kami ketika ini," katanya.

Beliau turut menuntut Israel berundur sepenuhnya daripada lima kawasan berhampiran sempadan yang masih dicerobohi, sejajar dengan gencatan senjata yang dipersetujui pada November lalu untuk menamatkan pertempuran dengan kumpulan Hezbollah.

Beliau menegaskan, kehadiran tentera Israel di kawasan tersebut menghalang tentera Lubnan dan pasukan pengaman PBB menjalankan operasi di sepanjang sempadan.

Lubnan masih secara teknikal dalam keadaan perang dengan Israel sejak 1948.

Dalam pada itu, menjawab desakan Amerika Syarikat agar Hezbollah dilucutkan senjata, Aoun berkata, sebarang tindakan ke arah itu perlu mengambil kira kepentingan negara dan tidak akan dilakukan secara paksa.

Hezbollah kekal sebagai satu-satunya kumpulan bersenjata bukan negara di Lubnan selepas perang saudara tamat pada 1990. - AFP

KHAIRUL AMRI BIN YASIN