fb fb fb fb fb

Genjatan senjata gagal dipatuhi, pertempuran kembali meletus di Sudan

(Gambar menunjukkan kepulan asap meyelubungi Khartoum, Sudan di mana pertempuran
antara tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) kembali
sengit selepas Aidilfitri/AFP)

KHARTOUM, 23 April- Gencatan senjata 72 jam di Sudan gagal dipatuhi apabila  pertempuran kembali meletus antara dua pihak yang bertelagah, menurut persatuan doktor pada Sabtu.

Hospital terus menjadi sasaran serangan dalam konflik itu yang membabitkan Angkatan Tentera Sudan (SAF) dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) dan kedua-dua pihak dikatakan gagal memenuhi komitmen gencatan senjata, lapor Agensi Anadolu memetik Jawatankuasa Pusat Doktor-doktor Sudan (CCSD).

Pertempuran dilaporkan telah merebak ke Bahri dan Omdurman, bandar bersebelahan dengan Khartoum, ibu negara Sudan dan  pertempuran turut berlaku di sekitar ibu pejabat tentera dan istana presiden.

Sementara itu, proses pemindahan diplomat asing bermula apabila kedua-dua pihak yang bertelagah menyatakan kesediaan untuk membuka lapangan terbang.

SAF dalam satu kenyataan di Facebook berkata ketua tentera Jeneral Abdel Fattah Burhan telah menerima permintaan dari beberapa negara untuk membenarkan pemindahan rakyat masing-masing.

"Kami sedang menunggu untuk memulakan proses seterusnya dalam masa terdekat kerana Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis dan China akan menyediakan pesawat tentera untuk proses pemindahan itu," menurut kenyataan berkenaan.

(Imej satelit menunjukkan pesawat yang musnah akibat serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa
Kahrtoum, Sudan/AFP)

Misi diplomatik Arab Saudi menjadi negara pertama yang memindahkan rakyatnya melalui Pelabuhan Sudan dan Jordan juga akan menggunakan laluan yang sama.

Turut dilaporkan Turkiye dan Kuwait juga akan melancarkan operasi untuk memindahkan rakyat mereka. -BERNAMA

 

Media Baharu