fb fb fb fb fb

Gencatan senjata: Hamas ulangi kesediaan laksana rancangan Presiden AS

Foto AFP

GAZA, 26 Ogos- Hamas mengulangi kesediaan melaksanakan rancangan yang digariskan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden untuk gencatan senjata di Gaza.

Perkara itu dinyatakan anggota Biro Politik Hamas, Izzat al-Rishq.

Menerusi satu kenyataan, beliau juga memaklumkan, delegasi kumpulan itu telah meninggalkan Kaherah malam tadi selepas bertemu dengan pengantara Mesir dan Qatar.

“Delegasi Hamas meninggalkan Kaherah malam ini, selepas bertemu dengan pengantara Mesir dan Qatar yang memberi taklimat kepada mereka mengenai hasil rundingan terkini,” katanya.

Dalam rundingan itu, Rishq mengulangi beberapa tuntutan Hamas termasuk pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Gaza.

Usaha diplomatik untuk mencapai gencatan senjata Gaza dan mengelakkan perang yang lebih meluas semakin rancak, susulan pembunuhan dua pejuang yang disokong Iran bulan lalu yang mencetuskan ancaman tindak balas daripada Tehran dan sekutunya, yang mendakwa perbuatan Israel.

Asas rundingan itu adalah rangka kerja yang digariskan oleh Presiden AS Joe Biden pada akhir Mei lalu, yang disifatkan sebagai cadangan Israel.

Sementara itu, Amerika Syarikat yang juga bertindak sebagai perantara, berkata bahawa kemajuan telah dicapai semasa pusingan terbaharu rundingan Gaza.

Hamas sebelum ini menyatakan satu delegasi akan pergi ke Kaherah hanya untuk bertemu dengan pengantara dan tidak akan mengambil bahagian dalam rundingan tersebut.-AFP

ROSLINA BINTI DIN