WASHINGTON, 25 Jun - Gencatan senjata rapuh antara Iran dan Israel membuka ruang baharu untuk usaha diplomasi.
Wakil Tetap Iran ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Amir Saeid Iravani berkata, ruang diplomasi itu juga semakin hampir berbanding sebelum ini.
Beliau berkata, peningkatan ketegangan sebelum ini membuktikan kegagalan pendekatan paksaan yang bertujuan memaksa Iran menghentikan program nuklear aman negara itu.
“Perang berskala besar dan berpanjangan yang mereka sangka boleh memaksa Iran menyerah kalah secara ‘tanpa syarat’ melalui ugutan, ancaman dan kekerasan telah gagal dengan nyata.
“Ini membuktikan satu hakikat mudah: diplomasi dan dialog adalah satu-satunya jalan untuk menyelesaikan krisis yang tidak perlu berkaitan program nuklear aman Iran,” katanya pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengenai isu pengawalan senjata pada Selasa, susulan 12 hari pertempuran sengit antara kedua-dua seteru serantau itu.
Iravani bagaimanapun membantah kehadiran Israel pada mesyuarat berkenaan, dengan alasan rejim itu tiada kedudukan sah dalam agenda mesyuarat.
“Dari sudut perundangan dan amalan terdahulu, Israel tiada hak untuk mengambil bahagian dalam mesyuarat ini. Rejim ini tiada kaitan dengan agenda. Tiada Resolusi 2231 mahupun JCPOA,” katanya, merujuk kepada Resolusi 2231 Majlis Keselamatan PBB pada 2015 yang mengesahkan Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) berkaitan program nuklear Iran.
Beliau juga menuduh Israel melakukan pencerobohan jenayah dengan sokongan penuh Amerika Syarikat.
“Israel menyasarkan kemudahan nuklear aman Iran, orang awam dan infrastruktur.
"Serangan ini telah meragut ratusan nyawa orang tidak bersalah, termasuk wanita, kanak-kanak, saintis nuklear, ahli akademik, pelajar, petugas bantuan kemanusiaan dan pegawai tentera,” katanya.
Iravani turut menegaskan komitmen Tehran terhadap prinsip pengawalan senjata nuklear, sambil menyatakan bahawa Iran terus mematuhi Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) dan membenarkan pemantauan meluas oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).