fb fb fb fb fb

Gencatan senjata 60 hari: Hamas masih teliti cadangan

Foto REUTERS

KAHERAH, 3 Julai – Hamas memaklumkan sedang meneliti cadangan gencatan senjata Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, namun kumpulan berkenaan tetap menegaskan bahawa penguduran Israel daripada Gaza tetap merupakan syarat utama.

Hamas dalam kenyataan berkata pihaknya menerima tawaran terbaharu daripada Mesir dan Qatar sebagai perantara dan sedang mengkaji cadangan itu demi memastikan peperangan berakhir serta pengunduran Israel dari wilayah Gaza.

Presiden Trump sebelum itu mengumumkan bahawa Israel telah bersetuju dengan syarat untuk memuktamadkan gencatan senjata selama 60 hari selepas pertemuan antara wakilnya dan pegawai Israel.

“Israel telah bersetuju dengan syarat yang diperlukan untuk memuktamadkan gencatan senjata 60 hari, dan kami akan bekerjasama dengan semua pihak bagi menamatkan perang,” kata Trump menerusi hantaran di media sosial pada Selasa.

Akhir Mei lalu, Hamas meminta pindaan ke atas cadangan gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat. Namun utusan Trump, Steve Witkoff menyifatkan permintaan itu sebagai “tidak boleh diterima sama sekali”.

Cadangan tersebut termasuk gencatan senjata selama 60 hari serta pembebasan separuh daripada tebusan oleh Hamas sebagai pertukaran kepada tahanan Palestin dan mayat rakyat Palestin lain. Selebihnya akan dibebaskan dalam fasa yang menjamin penamatan perang.

Sumber rapat Hamas berkata kepemimpinan kumpulan itu dijangka membincangkan cadangan berkenaan dan mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak perantara sebelum memberi jawapan rasmi. -REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD