BANDAR GAZA, 12 Jun- Sekurang-kurangnya 60 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel pada Rabu, menurut pegawai kesihatan tempatan.
Kebanyakan mangsa berada berhampiran tapak agihan bantuan yang dikendalikan oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF) di tengah wilayah Gaza.
Hospital Shifa dan Al-Quds melaporkan bahawa sekitar 25 orang maut dan puluhan lagi cedera ketika menghampiri pusat agihan makanan di kawasan bekas penempatan Yahudi Netzarim sebelum subuh.
Tentera Israel mendakwa mereka melepaskan tembakan amaran terhadap sekumpulan individu yang dianggap mengancam pasukan tentera di kawasan Koridor Netzarim.
“Ini berlaku walaupun telah diberi amaran bahawa kawasan itu adalah zon pertempuran aktif,” kata Pasukan Pertahanan Israel (IDF).
“Kami sedar mengenai laporan kecederaan dan sedang menyemak butiran lanjut", katanya.
Di selatan Gaza, pegawai kesihatan di Hospital Nasser di Khan Younis melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh akibat tembakan Israel ketika mereka menghampiri satu lagi tapak GHF di Rafah.
GHF kemudiannya menuduh Hamas melakukan serangan ke atas sebuah bas yang membawa dua dozen kakitangan Palestin ke lokasi agihan mereka, menyebabkan sekurang-kurangnya lima orang terbunuh.
Dalam kenyataan rasmi, GHF menegaskan bahawa mereka akan meneruskan misi menyampaikan bantuan penting kepada penduduk Gaza, dan mereka sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Israel untuk memastikan laluan bantuan yang selamat.
“Penyelesaian jangka panjang ialah lebih banyak bantuan, bagi mengurangkan desakan dan kekacauan di kalangan penduduk,” kata mereka melalui e-mel kepada Reuters.
Menurut GHF, sebanyak 2.5 juta makanan telah diagihkan pada Rabu, jumlah harian tertinggi sejak mereka memulakan operasi pada akhir Mei.
Setakat ini, lebih 16 juta makanan telah disalurkan kepada penduduk Gaza.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas melaporkan bahawa 163 rakyat Palestin telah terbunuh dan lebih 1,000 cedera sejak usaha mendapatkan bantuan makanan bermula.
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengecam pembunuhan ini dan menolak menyalurkan bantuan melalui GHF, yang menggunakan kontraktor swasta dengan perlindungan ketenteraan Israel, tindakan yang dianggap melanggar piawaian kemanusiaan.
Selain insiden berkaitan bantuan, kementerian turut melaporkan sekurang-kurangnya 11 orang lagi terbunuh akibat serangan berasingan Israel di beberapa lokasi di Gaza pada hari yang sama.-REUTERS.