fb fb fb fb fb

Gas tawa dipercayai punca 3 remaja maut, kereta terjun kolam

FOTO HIASAN

MONTPELLIER, 4 Disember - Tiga remaja lemas selepas kereta yang mereka naiki terbabas ke dalam kolam renang persendirian di bandar Ales, Perancis, Rabu lalu, dalam kejadian yang dipercayai berkaitan dengan penggunaan gas tawa, menurut pihak pendakwa.

Kereta itu merempuh dinding rumah, terbalik sebelum terjun ke kolam kira-kira pukul 2.00 pagi, kata pendakwa Abdelkrim Grini. Identiti pemandu antara remaja berusia 14, 15 dan 19 tahun itu masih belum dapat dipastikan.

“Ia benar-benar satu tragedi ngeri. Mereka terperangkap terbalik dalam air sejuk, tidak mampu keluar,” kata Grini. Pemilik rumah, seorang pembuat roti, menemui kereta itu selepas pulang dari syif malam sekitar pukul 6.00 pagi.

Sumber polis memberitahu beberapa botol nitrous oksida ditemui dalam kenderaan itu. Gas tidak berwarna itu biasanya digunakan dalam bidang pergigian dan perubatan untuk melegakan kesakitan, serta dalam katering untuk menghasilkan krim putar.

Penggunaan rekreasi gas tawa, yang menghasilkan rasa euforia dan relaksasi serta rasa terpisah dari realiti, semakin popular terutama dalam kalangan remaja, yang menghirupnya melalui belon. Ia masih sah di Perancis untuk dibeli individu, tetapi pihak berkuasa sedang mengusahakan rang undang-undang bagi melarang penggunaan rekreasi gas berkenaan.

Beberapa bandar di Perancis telah cuba melarang penggunaan awam dan mengehadkan penjualannya kerana risiko kemalangan jalan raya meningkat. Bulan lalu, seorang pemandu yang menggunakan gas tawa telah menyebabkan kematian seorang remaja 19 tahun di bandar Lille.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE