fb fb fb fb fb

Filipina semak semula angka kematian taufan Nalgae, 45 orang terbunuh

(Foto AFP)

MANILA, 29 Oktober- Filipina menyemak semula jumlah kematian akibat ribut tropika yang melanda negara itu hari ini, dengan mengatakan hanya 45 orang terbunuh, membetulkan angka yang dilaporkan sebelum ini iaitu 72 orang.

Pegawai pertahanan awam mengakui pasukan penyelamat yang dihantar ke selatan negara yang dilanda banjir pada Jumaat telah tersilap dalam laporan mereka, menyebabkan beberapa kematian dikira dua kali.

"Apabila kami menyatukan laporan pada pukul 6.00 pagi hari ini kami menyedari hanya terdapat 40 maut, 31 cedera dan 15 hilang," kata Naguib Sinarimbo, jurucakap dan ketua pertahanan awam bagi wilayah selatan memberitahu AFP.

(Usaha memindahkan penduduk dari kawasan banjir akibat hujan lebat yang dibawa
oleh Ribut Tropika Nalgae di Bandar Zamboanga pada 28 Oktober 2022/Foto AFP)

Ketua Pertahanan Awam Negara, Rafaelito Alejandro turut mengesahkan angka yang lebih rendah pada sidang akhbar di Manila, berkata 40 mayat ditemukan daripada bencana di wilayah selatan Mindanao.

Ribut Tropika Nalgae membunuh lima orang di tempat lain di negara itu, tambah Alejandro.

Terdahulu, pejabat pertahanan awam melaporkan 72 maut, 14 hilang dan 33 cedera.

Alejandro memberitahu pemberita bahawa jumlah kematian berkurangan selepas pegawai tempatan menjalankan "pengesahan" laporan itu.

Taufan Nalgae membadai pulau utama Filipina Luzon dengan angin sejauh 95 kilometer (59 batu) sejam selepas mendarat, awal Sabtu.-AFP

Media Baharu