MANILA, 29 Januari- Pengawal Pantai Filipina (PCG) mendakwa telah mengesan empat kapal China berada di perairan yang dipertikaikan, berhampiran Bajo de Masinloc atau dikenali sebagai Scarborough Shoal di Laut China Selatan.
Jurucakap PCG, Laksamana Jay Tarriela, berkata kapal-kapal China Coast Guard (CCG) itu dikesan melalui sistem Dark Vessel Detection, yang digunakan untuk mengesan kapal tanpa isyarat penjejakan.
Rakaman menunjukkan kru kapal BRP Teresa Magbanua, kapal terbesar dalam armada PCG, berbalas komunikasi radio dengan kapal CCG 3304 kira-kira 88 batu nautika dari pantai Filipina pada 28 Januari.
Menurut kenyataan PCG: "Selain itu, data daripada Dark Vessel Detection turut menunjukkan kehadiran tiga lagi kapal Pengawal Pantai China di sekitar Bajo de Masinloc. Ini termasuk CCG-5901 pada jarak 99.37 batu nautika dari Zambales; CCG-3502 pada 131.70 batu nautika; dan CCG-3103 pada 133.97 batu nautika."
Filipina menyifatkan kehadiran kapal-kapal China itu sebagai tindakan provokasi dan tidak sah, dengan pegawai kerajaan menyuarakan kebimbangan terhadap ancaman terhadap nelayan tempatan.
Antara kapal yang dikesan ialah CCG 5901, kapal pengawal pantai terbesar di dunia dengan panjang 541 kaki dan berat 12,000 tan, yang mula dikesan berhampiran perairan Zambales sejak 4 Januari.
Pihak berkuasa percaya kehadiran kapal-kapal itu bertujuan untuk menakut-nakutkan nelayan Filipina daripada memasuki Scarborough Shoal, yang merupakan kawasan kaya dengan sumber perikanan dan minyak.
China mendakwa hampir keseluruhan Laut China Selatan sebagai miliknya, meskipun Mahkamah Timbang Tara PBB pada 2016 telah menolak tuntutan tersebut sebagai tidak sah.
Tindakan China memperluaskan pengaruhnya di rantau ini terus mencetuskan kebimbangan, terutama dengan pelaburan besar-besaran di negara-negara membangun yang dilihat sebagai strategi mengukuhkan cengkaman geopolitik Beijing.-REUTERS