TEHRAN, 10 Julai - Bermula musim depan, golongan wanita di Iran dibenarkan memasuki stadium bagi menyaksikan perlawanan bola sepak, kata pegawai tertinggi Persekutuan Bola Sepak Iran (FFIRI) pada Sabtu lalu.
Menurut Ketua (FFIRI), Mehdi Taj, beberapa stadium di beberapa kota seperti Isfahan, Kerman dan Ahvaz bersedia menerima kehadiran penonton wanita.
"Tahun ini, salah satu keistimewaan liga bola sepak Iran ialah kehadiran wanita di stadium", katanya semasa siaran langsung acara undian liga bola sepak Iran yang bakal bermula bulan depan.
Sejak tercetusnya Revolusi Iran 1979, sebahagian besar wanita dilarang daripada menyertai sukan walaupun tiada peruntukan undang-undang yang melarang penyertaan golongan berkenaan.
Pada bulan Ogos, kaum wanita dibenarkan buat pertama kali sejak beberapa tahun bagi menyaksikan perlawanan bola sepak diantara kelab Tehran Esteghlal menentang Mes Kerman.
Pada Oktober 2019, kira-kira 4,000 wanita dibenarkan hadir dan menyaksikan perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 membabitkan pasukan Iran menentang Kemboja, di Stadium Azadi.
Iran berdepan tekanan bagi membenarkan wanita menyaksikan perlawanan bola sepak susulan kematian seorang peminat bola sepak Sahar Khodayari yang membakar diri selepas ditangkap ketika cuba menghadiri perlawanan bola sepak dengan menyamar sebagai lelaki.
Khodayari dikenali sebagai 'Gadis Biru' sempena warna pasukan kegemarannya, Esteghlal.
Khodayari 29 tahun dilaporkan membakar dirinya di luar mahkamah pada 2 September 2019 selepas didakwa cuba memasuki stadium bagi menyaksikan perlawanan bola sepak.
Gadis malang itu meninggal dunia sehari kemudian di salah sebuah hospital di Tehran.-AFP
(FOTO AFP)