fb fb fb fb fb

Fasa ketiga pelepasan air loji nuklear Fukushima bermula Khamis

FOTO REUTERS

TOKYO, 2 November-Jepun bakal memulakan fasa ketiga pelepasan sisa air penyejuk terawat daripada runtuhan loji nuklear Fukushima pada Khamis.

Menurut pengendalinya, 'Tokyo Electrik Power' (TEPCO), ia akan mula melepaskan kira-kira 7,800 tan air yang telah digunakan untuk menyejukkan reaktor yang terjejas selepas tragedi tsunami pada 2011.

"Pelepasan air tersebut dianggarkan selesai dalam masa kira-kira 17 hari," kata jurucakap TEPCO kepada AFP.

Bermula hujung Ogos, TEPCO telah melepaskan air sisa terawat; menyamai 540 buah kolam renang Olimpik yang disimpan di loji janakuasa Fukushima, Daiichi.

Loji berkenaan dikatakan tidak mempunyai ruangan untuk membina lebih banyak tangki air.

TEPCO perlu membersihkan kawasan berkenaan bagi tugasan yang lebih berbahaya, iaitu mengalihkan bahan api radioaktif dan runtuhan daripada tiga reaktor yang terjejas.

Sebelum ini, Jepun mendakwa sisa terawat berkenaan tidak berbahaya dan akan dilepaskan secara berperingkat-peringkat selama beberapa dekad.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD