ROME, 10 Julai -Kesatuan Eropah (EU) mengumumkan peruntukkan sebanyak 2.3 bilion euro ($AS2.69 bilion) untuk membantu pembinaan semula Ukraine dan dana khas untuk meningkatkan pelaburan swasta.
Menurut Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen dalam satu kenyataan, dana itu diperuntukkan bagi tujuan membina semula kediaman, hospital dan perniagaan.
"Dengan 2.3 bilion euro dalam perjanjian yang ditandatangani, kami menyasarkan untuk menyuntik sehingga 10 bilion euro dalam pelaburan untuk membina semula rumah, membuka semula hospital, memulihkan perniagaan dan mendapatkan tenaga," katanya.
Pakej 2.3 bilion euro itu kebanyakannya melibatkan pelaburan swasta termasuk 1.8 bilion euro dalam bentuk jaminan pinjaman dan 580 juta euro dalam bentuk geran.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri persidangan menyokong Ukraine di Rom, yang turut dihadiri oleh Presiden Volodymyr Zelensky.
Brussels juga mengumumkan "dana perdana Eropah untuk pembinaan semula Ukraine" yang berasingan dengan modal permulaan sebanyak 220 juta euro.
"Ia adalah dana ekuiti terbesar di dunia untuk menyokong pembinaan semula dan akan memulakan pelaburan dalam sektor tenaga, pengangkutan, bahan mentah kritikal dan industri dwiguna," kata Von der Leyen.
Dana itu bertujuan untuk menggerakkan 500 juta euro menjelang 2026.
Sejak pencerobohan Rusia pada Februari 2022, Eropah telah dan merupakan penderma terbesar Ukraine dengan hampir 165 bilion euro sokongan. -REUTERS