fb fb fb fb fb

EU jangka ekonomi tumbuh sederhana, defisit fiskal dijangka meningkat

Foto REUTERS

BRUSSEL, 18 November – Ekonomi Kesatuan Eropah (EU) dijangka terus berkembang pada kadar sederhana, didorong oleh peningkatan eksport menjelang kenaikan tarif Amerika Syarikat (AS), menurut ramalan ekonomi musim luruh 2025 yang dikeluarkan Komisen Eropah.

Laporan itu menyatakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) EU dijangka meningkat 1.4 peratus pada 2025, manakala zon euro berkembang 1.3 peratus. Pertumbuhan bagi 2026 diramalkan 1.4 peratus untuk EU dan 1.2 peratus untuk zon euro, sedikit rendah berbanding unjuran Mei lalu.

Inflasi utama zon euro dijangka menurun kepada 2.1 peratus tahun ini daripada 2.4 peratus pada 2024. Inflasi di seluruh EU pula dijangka menurun daripada 2.6 peratus pada 2024 kepada 2.2 peratus pada 2027, sedikit melebihi kadar zon euro.

Disebabkan peningkatan perbelanjaan pertahanan, defisit fiskal EU dijangka meningkat kepada 3.4 peratus daripada KDNK pada 2027 berbanding 3.1 peratus pada 2024.

Nisbah hutang terhadap KDNK EU dijangka meningkat daripada 84.5 peratus pada 2024 kepada 85 peratus pada 2027, manakala nisbah zon euro dijangka naik daripada kira-kira 88 peratus kepada 90.4 peratus.

Laporan itu turut menekankan secara global, halangan perdagangan kini berada pada paras tertinggi dalam sejarah.

EU kini menghadapi tarif eksport ke AS yang lebih tinggi berbanding unjuran musim bunga, manakala ketidakpastian dasar perdagangan terus membebankan aktiviti ekonomi.

Tarif dan sekatan bukan tarif berpotensi mengehadkan pertumbuhan EU lebih daripada dijangka, dan sebarang peningkatan ketegangan geopolitik boleh menambah tekanan terhadap gangguan bekalan. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN