fb fb fb fb fb

Eropah tolak pelan AS untuk perang Ukraine, tuntut peranan dalam rundingan

Foto Bernama

BERLIN, 21 November - Pemimpin Jerman, Perancis dan Britain mengalu-alukan usaha Amerika Syarikat untuk menamatkan perang di Ukraine tetapi menegaskan bahawa sebarang persetujuan yang memberi kesan kepada Eropah mesti melibatkan rakan kongsinya, sekali gus menonjolkan perbezaan ketara dengan pelan damai 28 perkara Washington, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Dalam panggilan bersama Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky pada Jumaat, Perdana Menteri Britain Keir Starmer, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Canselor Jerman Friedrich Merz memaklumi usaha pentadbiran Trump untuk menjadi perantara menamatkan konflik itu, menurut jurucakap kerajaan Jerman.

Pada masa yang sama, ketiga-tiga pemimpin menegaskan bahawa “mana-mana perjanjian yang memberi kesan kepada negara-negara Eropah, Kesatuan Eropah atau NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) memerlukan kelulusan rakan kongsi Eropah atau konsensus dalam kalangan Sekutu,” menurut kenyataan bertulis selepas panggilan itu.

Keempat-empat pemimpin berikrar untuk terus mencapai matlamat melindungi “kepentingan penting Eropah dan Ukraine” dalam jangka panjang, termasuk tuntutan untuk genjatan senjata di sepanjang garis hadapan semasa sebagai prasyarat rundingan damai.

Mereka berkata angkatan tentera Ukraine mesti kekal berkeupayaan mempertahankan kedaulatan negara itu dengan berkesan.

Pendekatan ini bercanggah dengan terma dalam pelan 28 perkara AS yang bocor secara meluas awal minggu ini.

Draf berkenaan, yang Rusia berkata ia tidak dirunding mengenainya, merangkumi banyak tuntutan Moscow termasuk konsesi wilayah dan larangan ke atas Ukraine daripada menyertai NATO.

Pelan itu menggesa Ukraine menarik balik tenteranya dari bahagian wilayah Luhansk dan Donetsk yang kini berada di bawah kawalan Kyiv.

Ukraine, yang secara konsisten menolak konsesi wilayah, bersama sekutu Eropahnya, sebaliknya telah lama menuntut genjatan senjata di sepanjang garis hadapan semasa sebagai prasyarat kepada penyelesaian damai muktamad - satu cadangan yang ditolak Moscow.-BERNAMA

AZRUL FAIZAL JUSOH