fb fb fb fb fb

Empat pembantu kanan Boris Johnson letak jawatan

 

FOTO REUTERS


LONDON, 5 Februari- Empat pembantu kanan Perdana Menteri Britain, Boris Johnson bertindak meletak jawatan dalam tempoh 24 jam.

Pengunduran mereka dipercayai akibat tekanan yang semakin memuncak terhadap kepimpinan Johnson.

Peletakan jawatan melibatkan Ketua Turus, Dan Rosenfield; Ketua Setiausaha Sulit, Martin Reynolds; Pengarah Komunikasi, Jack Doyle; dan Ketua Polis, Munira Mirza.

Ketika ini 17 Ahli Parlimen dari Parti Konservatif sudah mengemukakan surat hilang kepercayaan terhadap Johnson.

Sejumlah 54 surat diperlukan untuk mengadakan undi tidak percaya di Parlimen.

Sebahagian besarnya dikatakan berpunca daripada insiden penganjuran majlis keraian di Downing Street, ketika tempoh sekatan COVID-19.

Johnson berdepan krisis yang semakin tenat disebabkan kemarahan ramai terhadap penganjuran parti di pejabat dan kediamannya di Downing Street, ketika perintah berkurung COVID-19.

Penggubal undang-undang yang marah termasuk dalam kalangan Parti Konservatif sendiri, dengan sebahagian sudah menuntut peletakan jawatannya selain rombakan operasi Downing Street sekiranya Johnson mahu kekal berkuasa.

Johnson sebelum ini berjanji untuk menukar gaya kepimpinannya selepas laporan dibuat oleh penjawat awam kanan, Sue Gray, terhadap pengendalian pejabat dan kediaman Downing Street, yang disifatkan sebagai 'kegagalan serius dalam kepimpinan'.

Rosenfield, Reynolds dan Doyle dikaitkan secara langsung berada dalam perhimpunan itu, malah Reynolds dilaporkan menghantar e-mel meminta jemputan untuk 'membawa minuman keras anda sendiri'.

Pejabat Johnson berkata Rosenfield dan Reynolds bagaimanapun akan kekal dalam jawatan mereka buat masa ini. -REUTERS

Media Baharu