fb fb fb fb fb

Empat peluncur ski maut di pergunungan Alps

FOTO HIASAN

LYON, 31 Januari- Empat peluncur ski Norway terkorban dalam kejadian runtuhan salji di kawasan pergunungan Alps Perancis pada Rabu.

Kejadian berlaku di luar kawasan salji biasa di Val-Cenis berdekatan sempadan Itali apabila kumpulan tujuh peluncur terperangkap dalam runtuhan berkenaan.

Tiga daripada mereka maut di tempat kejadian, manakala seorang wanita meninggal dunia selepas dibawa ke hospital di Grenoble akibat serangan jantung dan hipotermia teruk. Tiga lagi peluncur tidak mengalami kecederaan.

Datuk Bandar Val-Cenis, Jacques Arnoux berkata ia adalah runtuhan salji yang besar dan berlaku di luar kawasan ski.

Operasi menyelamat melibatkan pasukan penyelamat gunung seramai 10 anggota.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan di wilayah Haute-Savoie, seorang peluncur ski Switzerland berusia 30 tahun maut akibat runtuhan salji berhampiran Chamonix.

Mangsa sedang bermain ski di lereng utara Aiguillette des Posettes di kawasan Mont Blanc bersama bapanya yang tidak cedera dan abangnya dibawa ke hospital untuk rawatan. -AFP

SITI AISHAH MD ISA