fb fb fb fb fb

Empat orang maut dalam kebakaran di Chile

SANTIAGO, 4 Februari - Chile mengisytiharkan bencana di beberapa wilayah tengah selatan selepas gelombang haba yang dahsyat mencetuskan kebakaran hutan yang mengorbankan empat orang, kata pihak berkuasa pada hari Jumaat.

Lebih 100 rumah terjejas dan 29,000 hektar hutan musnah sejak kebakaran berlaku pada hari Rabu.

 
(Anggota bomba memadam api kebakaran hutan dari sebahagian kawasan luar bandar di Quillon /Foto Reuters)

"Malangnya kami ...mengesahkan empat orang maut. Mereka bergerak dengan kenderaan di wilayah Biobio," kata Menteri Dalam Negeri Carolina Toha.

Kerajaan telah mengisytiharkan keadaan bencana di wilayah Nuble dan Biobio, kebakaran juga telah menjejaskan wilayah Maule dan La Araucania.

Presiden Gabriel Boric memutuskan untuk menangguhkan cutinya bagi tujuan melawat kawasan yang terjejas, di mana terdapat 178 kebakaran aktif.

Daripada jumlah itu, 39 kawasan masih di luar kawalan.

Toha berkata, dua daripada mangsa maut apabila api menyambar jalan yang mereka lalui, manakala dua lagi maut dalam kemalangan kereta, ketika cuba melarikan diri dari api yang merebak.

Perkhidmatan pertolongan pencegahan dan tindak balas bencana negara Senapred dan perbadanan hutan negara CONAF berkata sembilan orang telah cedera, termasuk lapan anggota bomba.

Kira-kira 2,300 anggota bomba dan 75 pesawat terlibat bagi mengawal kebakaran ini.

Pengisytiharan bencana ini, membolehkan sumber pertolongan tambahan disediakan untuk bantuan kecemasan.

Nuble telah diletakkan dalam amaran merah, bersama tujuh majlis perbandaran di Biobio.

Gelombang haba, dengan suhu mencecah 40 darjah Celcius, telah menimbulkan kebimbangan yang sama telah berlaku iaitu pada 2017 di mana kebakaran di wilayah yang sama menyebabkan 11 orang maut, memusnahkan 1,500 rumah dan menjejaskan 467,000 hektar hutan. - AFP

Media Baharu